Selamat Datang

Selamat Datang Ke Blog SKRB

Friday, July 2, 2010

dari utusan.com.my

Isu kewajaran UPSR, PMR diumum tahun ini

KUALA LUMPUR 1 Julai - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan mengumumkan keputusan sama ada memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau sebaliknya dalam tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, kerajaan tidak mahu melengah-lengahkan dalam membuat keputusan dan pengumuman itu akan dibuat selepas selesai sesi rundingan meja bulat anjuran Kementerian Pelajaran.

"Kerajaan akan membuat keputusan dengan cepat dan telah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom untuk mengadakan segera sesi meja bulat dengan pihak-pihak berkepentingan.

"Kementerian telah membuat kajian lama mengenai pemansuhan UPSR serta PMR dan perbincangan meja bulat ini bertujuan mendapatkan input lebih terperinci di samping memberi gambaran lebih jelas sebelum keputusan mengenainya diambil," jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pendidikan Prasekolah Kebangsaan 2010 di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha kementerian; Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang; Alimuddin dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.

Muhyiddin memberitahu, maklum balas yang diterima sehingga ini khususnya menerusi media amat menggalakkan serta positif.

Menurutnya, segala input serta maklum balas itu akan diambil kira sewaktu sesi perbincangan meja bulat di kementerian nanti.

Mengenai Program Permata Negara yang akan diambil alih Kementerian Pelajaran, Timbalan Perdana Menteri memberitahu, itu tugas baru yang diserahkan kepada kementerian.

"Program itu membabitkan pendidikan bagi kanak-kanak berusia satu bulan hingga empat tahun, ia memerlukan satu pendekatan berlainan dengan pendidikan prasekolah," katanya.

No comments: